Skor Peratusan Indeks Domain dan Subdomain I-KOBT Mengikut Tahap

Domain Indeks Kegembiraan Organisasi Berprestasi Tinggi (I-KOBT)

1. Kegembiraan

A. Kepuasan Kerja

Kepuasan kerja merupakan aspek penting bagi menjamin kegembiraan individu bekerja dalam sesebuah organisasi. Kepuasan kerja dalam kajian ini merujuk kepada indikator gaji, kenaikan pangkat, penyeliaan, prosedur operasi, rakan sekerja, sifat kerja, komunikasi dan persekitaran.

B. Kepuasan Hidup

Kepuasan hidup sememangnya diketahui menjadi pengukur signifikan terhadap kegembiraan secara keseluruhan. Individu yang merasakan kepuasan yang tinggi dengan kehidupannya cenderung menunjukkan kegembiraan dalam hidup. Sekali gus, kepuasan yang dirasai dalam kehidupan turut memberi impak kepada aspek sosial lain seperti pekerjaan. Kepuasan hidup dalam kajian ini merujuk kepada indikator kehidupan yang dimiliki sebagai kehidupan ideal dan berpuas hati dengan kehidupan yang dijalani.

C. Penilaian Hidup

Penilaian terhadap kehidupan yang dijalani adalah penting bagi mengetahui sejauh mana individu tersebut menggambarkan kehidupannya. Individu yang menilai kehidupannya sebagai “kehidupan terbaik” menggambarkan bahawa individu tersebut berpuas hati dengan kehidupannya. Sebaliknya, sekiranya individu tersebut menilai kehidupannya sebagai “kehidupan yang sukar”, maka digambarkan individu tersebut masih belum mencapai kehidupan yang diinginkan. Penilaian hidup dalam kajian ini merujuk kepada kehidupan bekerja berdasarkan dua indikator utama, iaitu kehidupan terbaik dan kehidupan yang sukar.

D. Emosi

Menurut Watson, Clark dan Tellegen (1988), perasaan dan emosi dibahagikan kepada dua, iaitu positif dan negatif. Emosi merujuk kepada individu yang menilai perasaan dan emosinya secara positif ialah individu yang menunjukkan keterujaannya, rasa aktif dan bangga. Manakala, emosi negatif merujuk kepada perasaan yang cenderung merasa kecewa, gelisah atau lesu dalam kehidupannya. Dalam kajian ini, emosi merujuk kepada dua indikator utama, iaitu positif dan negatif. Emosi positif dinilai berdasarkan rasa teruja, aktif dan bangga. Manakala, emosi negatif dinilai berdasarkan rasa kecewa, gelisah dan lesu.

E. Keterlibatan Kerja

Sejauh mana individu merasakan keterlibatan dengan pekerjaannya menunjukkan bahawa individu tersebut memberikan komitmen, keghairahan dan fokus yang menyeluruh dalam pekerjaannya. Individu yang mempunyai keterlibatan kerja tinggi cenderung menunjukkan prestasi yang menarik dan peningkatan komitmen. Dalam kajian ini, keterlibatan kerja diukur berdasarkan tiga indikator, iaitu semangat, dedikasi dan keasyikan atau kesungguhan. Indikator semangat merujuk kepada sejauh mana individu berasa bertenaga di tempat kerja serta merasa teruja untuk menjalani kehidupan bekerja setiap hari. Dedikasi merujuk kepada semangat yang ditunjukkan dengan pekerjaannya serta merasakan inspirasi daripada pekerjaannya. Manakala, keasyikan atau kesungguhan merujuk kepada penglibatan penuh terhadap aspek pekerjaan dan mementingkan pekerjaannya berbanding aspek lain semasa melakukan kerja

F. Prestasi Kerja

Individu yang menyayangi dan menghargai pekerjaannya cenderung berusaha keras untuk menghasilkan prestasi kerja yang disasarkan. Individu yang berjaya mencapai sasaran prestasi cenderung menunjukkan kepuasan dengan pekerjaannya. Oleh itu, bagi memastikan prestasi kerja dicapai, maka seseorang individu tersebut gemar membuat perancangan terperinci terhadap pekerjaannya. Dalam kajian ini, prestasi kerja diukur berdasarkan tiga indikator, iaitu prestasi tugas, prestasi kontekstual dan tingkah laku tidak produktif. Prestasi tugas merujuk kepada perancangan teliti terhadap pekerjaan agar dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan, sentiasa memberikan perhatian terhadap hasil kerja yang perlu dicapai dan pelaksanaan kerja dengan cekap. Prestasi kontekstual merujuk kepada usaha meningkatkan kemahiran kerja, menghasilkan penyelesaian kreatif dalam masalah kerja baharu, tanggungjawab lain dalam pekerjaan, mencari cabaran dalam pekerjaan dan penglibatan aktif dalam aspek pekerjaan. Manakala, tingkah laku tidak produktif merujuk kepada perbuatan yang negatif dalam suasana pekerjaan seperti mengadu domba dan menumpukan kepada elemen-elemen negatif di tempat kerja.



2. Organisasi Berprestasi Tinggi (OBT)

A. Kualiti Pengurusan

Kualiti pengurusan merujuk kepada pengurusan organisasi yang dipercayai, berintegriti, membuat keputusan yang cekap, memberikan bimbingan serta kepimpinan yang kukuh. Pengurusan juga berperanan sebagai contoh kepada ahli dalam organisasi, segera dalam mengambil tindakan serta memberikan tumpuan kepada hasil pencapaian.

B. Penambahbaikan dan Pembaharuan Berterusan

Penambahbaikan dan pembaharuan berterusan merujuk kepada strategi organisasi yang jelas, proses atau sistem kerja yang sentiasa diperbaik, memudahkan pekerja serta telus. Selain itu, organisasi juga menggalakkan ahlinya terus berinovasi dalam produk, proses dan perkhidmatan, dan sentiasa meningkatkan kecekapan melalui inovasi.

C. Orientasi Jangka Panjang

Orientasi jangka panjang merujuk kepada hubungan baik antara ahli dalam organisasi secara jangka panjang, perkhidmatan terbaik, tempat kerja yang selamat serta peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan secara dalaman.

D. Kualiti Pekerja

Kualiti pekerja merujuk kepada sistem pengurusan organisasi yang memberi inspirasi kepada ahli organisasi, peluang latihan, tenaga kerja yang pelbagai serta saling melengkapi.

E. Keterbukaan dan Orientasi Tindakan

Akhir sekali, keterbukaan dan orientasi tindakan merujuk kepada sifat terbuka antara ahli dalam organisasi dengan mengadakan sesi dialog bersama kakitangan, menggalakkan komunikasi dan bertukar pengetahuan, menggalakkan penglibatan kakitangan dalam sebarang proses organisasi, organisasi yang berpandukan prestasi serta menggalakkan perubahan.



3. Produktiviti

Produktiviti

Individu yang memberikan fokus kepada pekerjaannya cenderung menghasilkan produktiviti yang memberangsangkan walaupun sedang berhadapan dengan cabaran lain, seperti cabaran kerja atau kehidupan peribadi. Penghasilan produktiviti kerja yang baik menjelaskan bahawa individu tersebut mampu berdaya tahan dengan cabaran yang dialami semasa dalam proses pelaksanaan kerja. Dalam kajian ini, produktiviti diukur berdasarkan satu indikator tunggal dan daya tahan, iaitu produktiviti itu sendiri. Produktiviti merujuk kepada kemampuan individu menyiapkan tugasan walau berhadapan dengan masalah, sentiasa memberikan perhatian dalam mencapai matlamat kerja sungguhpun berhadapan dengan pelbagai masalah.



4. Faktor Individu

A. Personaliti

Personaliti merujuk kepada perwatakan diri individu yang dikenal pasti memberikan pengaruh tentang cara individu tersebut menilai atau melakukan pendekatan dalam sesuatu perkara. Dalam kajian ini, personaliti yang diberikan perhatian dalam mempengaruhi kegembiraan adalah personaliti Jenis B. Personaliti Jenis B merujuk kepada individu yang lebih santai dan relaks. Kepuasan pencapaian matlamat adalah berorientasikan kepuasan diri sendiri.

B. Kesejahteraan Keluarga

Kesejahteraan keluarga dalam kajian ini merujuk kepada kepuasan yang dirasakan berkenaan hubungan bersama dengan keluarga seperti pasangan atau ahli keluarga lain. Kepuasan juga dirasakan menerusi pencapaian oleh ahli keluarga, tahap kesihatan dan keselamatan, serta hubungan baik ahli keluarga bersama dengan komuniti.

C. Kesejahteraan Kewangan

Kesejahteraan kewangan dalam kajian ini merujuk kepada sejauh mana simpanan kewangan mampu menanggung kehidupan seharian individu, sama ada daripada aspek kecukupan, kawalan kewangan terhadap kehidupan dan baki simpanan.

D. Kesejahteraan Sosial

Kesejahteraan sosial dalam kajian ini merujuk kepada sumbangan yang diberikan oleh individu kepada komuniti, serta komuniti merupakan kawasan sosial yang selamat untuk didiami. Selain itu, kesejahteraan sosial juga dinilai daripada aspek penglibatan individu dalam kerja-kerja yang melibatkan komuniti.